KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Falsafah pendidikan di Malaysia adalah berasaskan pada ideology Negara yang terdiri daripada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru, dan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Dalam Perlembagaan misalnya, ada disebutkan berkenaan kedudukan bahasa kebangsaan, kepercayaan kepada Tuhan dan mengamalkan cara hidup berdemokrasi bagi mencapai perpaduan Negara ada disebut dalam Rukun Negara.
Istilah falsafah berasal dari 2 perkataan yunani iaitu philos dan Sophia. Dengna menyatupadukan kedua-dua perkataan ini, falsafah boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan.
Menurut Syarifah Alwiah Alsagoff dalam bukunya Falsafah Pendidikan (1984), falsafah ialah pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan terhadap perkara yang penting. Beliau menegaskan lagi bahawa falsafah ialah sesuatu penyiasatan yang komprehensif dan logikal mengenai asas-asas pemikiran atas semua aktiviti manusia, khususnya dalam bidang sains dan pendidikan. Beliau juga mempersoalkan prinsip-prinsip realiti, ilmu dan nilai serta cenderung mengumpulkan rumusannya kepada sistem-sistem pemikiran.
Manakala menurut Hu Jun (2003), falsafah merupakan panduan kesejahteraan hidup dalam usaha untuk memahami kendiri individu. Beliau juga menekankan bahawa falsafah sebagai perihal mencintai kebijaksana. Semua usaha intelektual manusia adalah kerana mencintai kebijaksana. Falsafah juga merupakan sesuatu disiplin, yang berlainan dengan disiplin-disiplin seperti psikologi, ekonomi, teologi dan sebagainya.
Justeru itu, menurut Russell (1946), falafah adalah diertikan sebagai sesuatu fahaman atau pengertian antara teologi dan sains. Ini adalah kerana seperti teologi, falsafah mengandungi spekulasi berkaitan perkara yang belum ada bukti yang kukuh. Manakala menurut sains, falsafah berusaha menggunakan penaakulan untuk membuktikan sesuatu perkara atau fahamannya.
Falsafah boleh dianggap sebagai satu sistem idea yang komprehensif mengenai fitrah manusia dan makna realiti di mana kita berada. Sama ada secara langsung atau tidak, falsafah memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dan cara hidup kita. Falsafah menjadi panduan hidup kerana isu yang difokuskan adalah ilmu, kewujudan manusia dan kebaikan manusia di dunia ini. Falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan sebenar falsafah adalah mencari dan membuktikan sesuatu pendapat atau memberi arah tuju dan pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.
Pendidikan pula mengikut pandangan umum boleh diertikan sebagai aktiviti yang berkaitan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Pendidikan adalah penting untuk menyediakan masyarakat bagi menghadapi cabaran kehidupan dan pembaharuan serta membuat pengubahsuaian demi memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat itu.
Menurut Kamus Pendidikan (1979), pendidikan adalah satu proses menyeluruh yang bertujuan memperkembangkan kebolehan dan tingkahlaku manusia. Ia merupakan satu proses sosial yang memberi peluang kepada seseorang individu untuk memperoleh kemahiran sosial serta perkembangan peribadi. Ia dijalankan dalam satu suasana yang terpilih serta terkawal yang diinstitusikan.
Menurut tokoh-tokoh islam, mereka memberi penekanan bahawa pendidikan merupakan proses penyatuan semua ilmu pengetahuan di bawah al-quran yang menjadi teras pendidikan. Pendiidkan memainkan peranan ke arah mewujudkan keseimbangan antara potensi fizikal, intelek dan rohani manusia.
Konsep falsafah pendidikan pula merupakan konsep filososfikal dalam pendidikan, yang berkait rapat dengan pendekatan falsafah yang digunakan untuk membina teori pendidikan berdasarkan masalah atau sesuatu isu pendidikan. Falsafah pendidikan boleh diruskan sebagai panduan, arah tuju atau pendapat terhadap pendidikan.
Secara keseluruhan, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pedoman terhadap perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini adalah digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis, berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestokan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukunegara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menjadi suluh yang memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan sama ada dalam insitusi pendidikan atau luar institusi pendidikan.
No comments:
Post a Comment