Sunday, 16 October 2011

PERANAN SEKOLAH DALAM MERIALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Menerusi elemen yang pertama iaitu pendidikan suatu usaha berterusan. Berdasarkan pemerhatian saya, peranan sekolah dalam merealisasikan elemen ini ialah menerusi kewujudan 2 kelas prasekolah yang mana pelajar-pelajarnya terdiri daripada umur 5 hingga 6 tahun. Guru-gurunya pula terdiri daripada guru yang terlatih daripada institut pengajian tinggi dan maktab perguruan di Malaysia. Apa yang dikatakan dengan usaha yang berterusan ialah apabila kanak-kanak tersebut berumur 7 tahun, mereka akan diserap masuk ke sekolah rendah dan pembelajaran ini akan berterusan sehingga mereka ke sekolah menegah pula. Selepas itu pula, apabila tamat sekolah menegah mereka akan meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi  sama ada di peringkat sijil, diploma , ijazah atau master. Mereka boleh menyambung pelajaran di mana-mana IPTA atau IPTS di dalam atau luar negara. Ini yang dikatakan sebagai pendidikan suatu usaha berterusan. 
Elemen yang kedua ialah perkembangan potensi individu. Di sekolah yang saya kaji ini mempunyai kemudahan bilik muzik. Bilik muzik ini digunakan oleh semua lapisan murid iaitu tahap satu dan juga tahap dua. Bilik muzik ini dapat membantu murid untuk menguasai teknik dan juga kemahiran menggunakan peralatan yang terdapat di bilik muzik tersebut. Terdapat pelbagai peralatan dalam di bilik tersebut antaranya ialah piano, recorder, buku-buku muzik, kerincing dan sebagainya.  Murid akan berpeluang mempelajari kemahiran tersebut dengan bimbingan guru muzik. Prasarana ini dapat memenuhi elemen FPK yang kedua iaitu "memperkembangkan potensi individu" dalam sesuatu bidang yang akan terjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain dan juga alam sekitar. Selain itu juga, menurut Guru pendidikan khas, En.Zohaili terdapat seorang murid pendidikan khas yang mempunyai dalam tilawah al-quran. Oleh itu, pihak sekolah telah menghantar pelajar pendidikan khas tersebut ke pertandingan tilawah al-quran bagi memperkembangkan potensi individu tersebut ke peringkat yang lebih tinggi. 
Elemen yang ketiga ialah insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Menurut Guru besar, sekolah tersebut telah menjalankan pelbagai aktiviti bagi melahirkan murid yang seimbang dari segi rohani, emosi, intelek dan jasmani. Antaranya ialah majlis Maulidur Rasul yang dijalankan bagi pada 27hb Mac 2009 telah melibatkan guru, ibu bapa serta murid. Aktiviti tersebut sama sekali dapat meningkatkan dan menteimbangkan murid dari aspek kerohanian. Selain itu, menurut En. Zohaili lagi, sebagai guru pendidikan khas, pelbagai karenah murid-murid yang akan kita hadapi semasa mengajar. Oleh itu, kita perlulah bijak mengawal emosi ketika mengajar. Kita perlu ikhlaskan diri kita sebelum mengajar supaya apa yang kita ajarkan akan diredhai oleh Allah S. W. T dan dapat diterima oleh murid dengan mudah. Dari aspek jasmani pula, pihak sekolah telah mangantar seramai 11 orang murid ke Kejohanan Sukan peringkatt negeri di Kota Tinggi dan 2 orang daripadanya merupakan murid dari kelas pendidikan khas. Menurut guru Besar lagi, sekolah ini bukan sahaja melibatkan murid secara aktif dalam aspek intelek, malah murid juga terlibat secara seimbang dari aspek rohani, emosi dan juga jasmani. 
Elemen yang keempat ialah ialah unsur intelek. Guru besar telah memperkenalkan aktiviti "Buddy Support System" di mana guru Bahasa Inggeris yang memainkan peranan dalam melaksanakan aktiviti tersebut. Guru bahasa inggeris akan memberi bimbingan terhadap penggunaan tatabahasa, kosa kata dan sebutan yang betul dalam kelas. Aktiviti tersebut dapat membantu guru PPSMI mahir dalam ketiga-tiga bidang tersebut. Aktiviti ini dapat meningkatkan tahap kognitif dan intelek murid-murid di sekolah selain dapat meningkatkan keyakinan guru dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Selain itu, terdapat juga sudut bacaan iaitu "teratak ilmu" yang berhampiran dengan kantin. Teratak ilmu ini biasanya digunakan oleh murid untuk membaca buku selepas waktu rehat. Meraka akan menghabiskan masa di teratak tersebut untuk melakukan kerja-kerja yang berfaedah. Murid-murid juga akan melakukan perbincangan bersama rakan-rakan berkaitan sesuatu tajuk di teratak tersebut. Teratak tersebut dapat memenuhi elemen yang terdapat dalam FPK iaitu dapat memperkembangkan unsur intelek dalam diri setiap individu.  Kemudahan tersebut juga dapat meningkatkan dan memupuk budaya ilmu dan budaya membaca dalam kalangan murid itu sendiri. Aktiviti kurikulum sekolah ini berjalan dengan lancar. Kelas bermula pada jam 7.15 pagi dan pada setiap pagi sebelum bermula pembelajaran, program "English Learning" telah  dijalankan selama 20 minit di mana pelajar-pelajar akan membuat karangan pendek dan pencarian perbendaharaan kata yang baru dalam bahasa inggeris. Segala aktiviti kurikulum ini amat penting dalam membina aspek intelek berdasarkan kebolehan individu.   

ELEMEN - ELEMEN DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Pertama, pendidikan suatu usaha berterusan. Pendidikan merupakan proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran serta menerapkan nilai-nilai murni dalam diri setiap individu. Proses ini berlaku secara langsung dan berterusan sejak dari kecil lagi hingga ke akhir hayat. Proses ini dapat membantu individu dalam menyesuaikan diri dengan sesuatu perubahan dalam kehidupan.  Pendidikan awal kanak-kanak adalah amat penting bagi membentuk sahsiah dalam diri individu. Sahsiah ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa.  
Kedua ialah perkembangan potensi individu. Setiap individu mempunyai potensi yang tersendiri dalam diri masing-masing. Namun, potensi ini perlu dicungkil dan diasah dengan daya dan usaha yang berterusan. Bakat, potensi dan kebolehan akan wujud melalui interaksi sosial dengan orang sekeliling dan alam sekitar. Melalui pendidikan, masyarakat akan berpeluang mengembang dan meningkatkan potensi yang ada dalam diri.  Falsafah Pendidikan Kebangsaan memberi penekanan kepada unsur JERI iaitu berupaya memberi tumpuan kepada daya berfikir secara kritis dan kreatif, berupaya memberi tumpuan kepada perkembangan anggota tubuh badan dengan cekap dan sihat dan mempunyai perasaan jiwa yang sihat serta berupaya memperkembang kecerdasan emosi ke tahap yang matang. 
Seterusnya ialah perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu. Seperti yang kita sedia maklum, bakat, potensi dan kebolehan yang ada dalam diri mempunyai hubungkait antara satu sama lain. Ketiga-tiga aspek tersebut perlu diselaraskan supaya tidak berlaku sebarang pertentangan dan percanggahan dalam kehidupan. Bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dihubungkaitkan secara berasingan.  Apa yang dimaksudkan dengan elemen perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu ialah perkembangan dan peningkatan ini merangkumi keempat-empat aspek iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani. Perkembangan yang merangkumi keempat-empat aspek ini akan melahirkan individu yang seimbang dari segala aspek.  
Seterusnya ialah insan yang seimbang dan harmonis. Falsafah Pendidikan Kebangsaan mampu melahirkan masyarakat yang seimbang dan harmonis di mana mempunyai ilmu, sahsiah yang baik, percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik dan kesihatan diri yang baik.  Masyarakat yang mengamalkan keempat-empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek mampu hidup secara harmoni dengan diri dan orang lain.  Sekiranya keempat-empat aspek ini diamalkan dalam kehidupan seharian, mereka mampu untuk menghadapi sebarang dugaan dan cabaran hidup serta berhadapan dengan segala macam masalah.  Mereka mempunyai ketahanan bukan sahaja dari segi fizikal, malah mental yang  akan mengawal segala perbuatan mereka. FPK juga dapat melahirkan insan yang berfikiran dan berjiwa tenteram serta bersikap positif.  
Elemen yang seterusnya ialah unsur intelek. Intelek berkait rapat dengan pemikiran dan juga kognitif seseorang individu. Mereka yang mempunyai daya  intelek yang tinggi mampu berfikir secara kreatif, kritikal dan juga reflektif. Kemahiran asas 3M akan diterapkan dalam diri iaitu kemahiran membaca, menulis, dan juga mengira.  Individu yang berdaya intelek yang tinggi juga akan sentiasa berkongsi maklumat dan berpendapat kepada individu lain serta tidak kedekut ilmu untuk menyebarkannya kepada sesiapa. Mereka akan sering memperbaiki diri dan akan terus berusaha untuk mengenbangkan ilmu yang ada dalam diri.  
Seterusnya ialah unsur rohani. Rohani berkait rapat dengan pencipta-Nya. Sekiranya unsur rohani menebal dalam jiwa seseorang, mereka akan menyedari dan percaya kepada Tuhan. Mereka akan bersyukur dengan segala nikmat dan kurniaan-Nya yang telah diberikan. Mereka juga takut untuk melakukan sesuatu perbuatan yang menyalahi hukum-hukum syarak. Selain itu mereka juga akan mengamalkan nilai-nilai murni serta berpegang kepada akhlak yang mulia dalam diri.  
Selain itu, elemen yang terdapat dalam FPK ialah unsur emosi. Individu yang mengamalkan unsur ini akan memiliki dan mempunyai perasaan kasih sayang bukan sahaja kepada sesama manusia malah kepada alam sekitar juga. Mereka akan saling mempunyai perasaan simpati dan impati kepada sesama makhluk. Mereka juga mampu mengawal emosi dengan stabil dan lebih matang.   Dalam pada itu, mereka akan sering menunjukkan sifat perpaduan dalam melakukan sesuatu aktiviti. Sifat kekitaan juga menebal dalam diri mereka. Mereka dapat mengawal perasaan-perasaan negatif dalam kehidupan. 
Dalam pada itu, unsur jasmani juga terdapat dalam salah satu elemen FPK. Unsur jasmani perlu diterapkan dalam diri setiap individu terutama golongan remaja. Mereka bukan sahaja akan mendapat tubuh badan yang  sihat malah mampu mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif serta sosial dalam diri setiap individu. Sekiranya unsur jasmani ini diterapkan di setiap sekolah dengan berkesan, mereka akan lebih menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal seperti bersenam dan melakukan aktiviti-aktiviti sihat.  mereka yang mempunyai unsur jasmani dalam diri akan menggunakan segal kemahiran fizikal yang ada untuk memanfaatkan kepada masyarakat.  
Justeru itu, elemen yang terkandung dalam FPK ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Elemen ini akan memberi impak yang positif dalam diri setiap individu iaitu percaya dan mengakui akan kewujudan pencip-Nya. Mereka akan mengamalkan segala ajaran dan takut untuk melakukan segala perbuatan yang menyalahi ajaran. Mereka juga akan mensyukuri segala nikmat dan kurniaan-Nya serta menyedari segala hukum-hukum dan fenomena alam yang merupakan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka juga lebih menyedari bahawa setiap individu bertanggungjawab sepenuhnya kepada segala tindakan yang dilakukan sama ada baik mahupun buruk.
Dalam pada itu, elemen yang terdapat dalam FPK ialah rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan. Sekiranya elemen ini diamalkan di sekolah, para pelajar akan lebih mengetahui akan kepentingan ilmu pengetahuan itu sendiri. Mereka akan mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya akan membawa diri mereka ke arah yang lebih berwawasan. Selain itu, mereka akan berusaha memperkasakan ilmu yang diperolehi dan mengamalkannya ke arah yang lebih bermanfaat.  Mereka juga akan berusaha memupuk budaya ilmu dan budaya membaca dalam kalangan para pelajar sendiri. Mereke juga akan lebih berfikiran terbuka dan berpandangan jauh dalam menyelesaikan sesuatu perkara.  
Justeru itu, rakyat Malaysia yang berketerampilan juga merupakan salah satu daripada elemen FPK. Para pelajar berkebolehan untuk menjalankan untuk menjalankan tugas dengan sempurna sekiranya elemen ini diamalkan dalam sesuatu institusi atau organisasi pendidikan. Elemen ini juga dapat memupuk pembawaan diri yang baik dalam diri mereka sendiri. Dengan elemen berketrampilan yang diamalkan, mereka akan lebih bepandangan jauh dan mempunyai sifat inisiatif yang tinggi dalam diri mereka. Justeru itu, mereka akan mempunyai kecekapan dan kompetensi yang tinggi dalam diri mereka. Kompetensi yang ada dalam diri ini akan membantu mereka dalam mengasah sesuatu bakat atau kemahiran yang ada dalam diri.  
Dalam pada itu, elemen akhlak Malaysia yang berakhlak juga merupakan elemen dalam FPK. Para pelajar akan mengamalkan nilai-nilai murni dan budi pekerti yang mulia sekiranya elemen ini dijadikan implikasi dalam sesebuah organisasi. Antaranya nilai perpaduan, hormat-menghormati, bersabar, toleransi dan semangat kekitaan yang menebal dalam diri setiap individu. Mereka akan menunjukkan perwatakan yang baik serta akan dijadikan contoh  dan role model  kepada orang lain. Mereka juga akan disegani dan dihormati oleh orang lain.  
Selain itu, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab juga merupakan elemen dalam FPK. Seseorang individu akan lebih dipercayai dan dihormati sekiranya elemen ini dijadikan implikasi dan diamalkan oleh segenap golongan. Mereka akan berusaha untuk meningkatkan diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa dan juga agama. Mereka menyedari bahawa tanggungjawab dan tugas yang telah diberikan merupakan suatu amanah dan perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Mereka akan cuba dan berusaha menjalankan segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan cekap dan sempurna  walaupun terdapat halangan dan dugaan. Mereka juga akan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.   
Dalam pada itu, FPK telah menggariskan elemen rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Elemen ini lebih menekankan kepada konsep  ketahanan diri iaitu mampu untuk menghadapi segala dugaan dan halangan yang dihadapi. Dugaan dan halangan ini dianggap sebagai satu cabaran hidup yang akan mematang kan diri.  Mereka juga akan lebih berfikiran waras dan berjiwa tenang dalam sesuatu  keadaan. Mereka juga tidak mudah berputus asa dalam menghadapi sesuatu cabaran mahupun kekalahan hidup. Mereka juga berkeupayaan mengharungi segala liku-liku hidup dan mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi dalam diri.  
Justeru itu, elemen yang terdapat dalam FPK ialah rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarkat dan negara. Sekiranya elemen ini diamalkan dalam sesuatu organisasi, individu akan berusaha untuk mempertahankan diri, maruah, bangsa, agama dan negara daripada sebarang ancaman luar. Mereka juga akan berusaha mengekalkan ekonomi dan kestabilan politik di negara sendiri terbela dan terjamin kelak. Mereka juga akan berusaha memupuk nilai-nilai nurni dalam diri setiap individu terutama semangat perpaduan, hormat-menghormati, semangat kekitaan dan bertimbang rasa. Mereka juga akan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ada di negara ini.
Sehubungan itu, elemen yang terdapat dalam FPK ialah memberi sumbangan keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Sekiranya elemen ini diamalkan dalam sesebuah kehidupan, mereka akan lebih memahami dan mematuhi norma-norma masyarakat dalam kehidupan. Mereka juga akan memupuk persefahaman dalam sistem kekeluargaan. Juseru itu, mereka akan menjadikan Rukunegara sebagai pegangan dan juga amalan hidup. Perasaan kekitaan dan cintakan negara juga akan wujud dalam diri setiap individu. Mereka juga akan berusaha mencapai kehidupan yang lebih bermakna dan bermatlamat.

FAKTOR PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


             Falsafah pendidikan merupakan rumusan idea yang merangkumi aspek realiti dalam bidang pendidikan, iaitu mencakupi segala dimensi, aspek dan fungsi pendidikan.  Tujuan falsafah pendidikan adalah untuk memberi panduan dan haluan kepada pakar pendidikan untuk merancang dan mereformasikan sistem pendidikan negara yang dicerminkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.     
Sehubungan itu,  Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan dengan mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara. Untuk menggubal Falsafah Pendidikan kebangsaan yang boleh memberi panduan dan bimbingan yang bermanfaat kepada segala usaha pendidikan, beberapa faktor hendaklah dipertimbangkan terlebih dahulu.  
Di antara faktor yang mempengaruhi pertimbangan semasa menggubal falsafah pendidikan kebangsaan ialah melalui faktor sosial di mana meliputi struktur masyarakat dan kebudayaannya. Masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Keharmonian dan kemakmuran negara adalah bergantung kepada nilai-nilai hormat-menghormati, toleransi dan juga kerjasama antara satu sama lain. Sikap ini amat penting dalam mencapai perpaduan antara kaum serta mewujudkan negara yang harmoni dan sejahtera. Perpaduan kaum juga merupakan salah satu matlamat pendidikan yang telah dinyatakan dalam FPK sendiri. 
Faktor ekonomi yang mempengaruhi matlamat pendidikan dalam usaha membawa pembangunan dan kemajuan negara. Tujuan ini dapat dicapai dengan melahirkan rakyat malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran dapat membantu negara memerkembangkan ekonomi dengan mempertingkatkan daya pengeluarannya. Cita-cita memperkembangkan ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidikan negara yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPK).
 Selain itu, kita lihat pula kepada faktor politik yang menentukan ideologi negara dan seterusnya mempengaruhi dasar pendidikan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal berlandaskan kepada ideologi negara yang telah dicerminkan dalam dokumen-dokumen rasmi negara seperti Rukunegara, Laporan Pendidikan, Laporan Kabinet dan Rancangan Malaysia. Faktor politik memainkan peranan yang penting dalam menentukan dasar pendidikan negara. 
Justeru itu, faktor agama yang dianuti oleh rakyat negara juga memainkan peranan dalam membentuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Agama islam merupakan agama rasmi negara kita namun agama Kristian, agama Buddha, agama Hindu dan sebagainya bebas dianuti mengikut undang-undang negara. Unsur agama ini dapat dihayati dan direnungkan melalui pernyataan " bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi da jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan". 
Dalam pada itu, faktor sejagat yang berkaitan dengan pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan juga keupayaan warganegara memberi sumbangan ke arah persefahaman antarabangsa.  Penggubalan FPK tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidikan antarabangsa. Sehubungan itu, idea-idea yang dihasilkan daripada seminar pendidikan antarabangsa pula membawa pengarunya ke atas FPK. Misalnya program pendemokrasian pendidikan, dan pendidikan seumur hidup dirancangkan oleh UNESCO dalam tahun 1980-an dan telah dimanifestokan dalam pernyataan FPK sebagai "pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan". Ini jelas mencerminkan pendidikan seumur hidup.  
Selain itu, faktor individu berkaitan dengan keperluan-keperluan asas seperti keselamatan, perkembangan potensi dan penyempurnaan kendiri.  Potensi individu dapat diperkembangkan melalui proses pendidikan. Potensi individu ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Perkembangan potensi individu secara menyeluruh  dan bersepadu akan menjadi insan insan yang seimbang dan harmonis. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, sentiasa menikmati ketenteraman jiwa serta bersedia menghadapi cabaran hidup dengan tenang. Cita-cita ini akan melahirkan individu yang seimbang dan harmonis merupakan penyataan utama dalam kandungan FPK. 
Malaysia sejak awal pembentukannya pernah memainkan peranannya di arena antarabangsa dalam usaha menjamin keamanan, keadilan dan kesejahteraan untuk negara dan sejagat. Usaha kerjasama sejagat ini akan terus dipikul oleh generasi-generasi akan datang.  

MATLAMAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Berlandaskan kepada falsafah pendidikan kebangsaan yang telah dihuraikan di atas, maka matlamat Pendidikan Negara ialah bertujuan melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya dapat melahirkan warganegara yang berguna. Dengan perkataan lain, matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan Negara sera memiliki sahsiah yang seimbang dan bersepadu serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. 
 Selain itu, FPK juga bermatlamat melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada Negara, melahirkan rakyat yang boleh memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan bersikap toleransi demi mewujudkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan berbekalkan kemudahan-kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang kurang berada.
 Selain daripada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang adalah diharapkan juga melalui pendidikan, Malaysia dapat mencapai matlamat pendidikannya seperti melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajipannya sebagai seorang warganegara, menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan perkembangan.
Pendidikan di Negara ini juga adalah untuk melahirkan individu atau rakyat Malaysia yang terdidik dalam pelbagai segi agar mereka matang berfikir, berkemahiran untuk memikul tanggungjawab dan mempunyai komitmen untuk mendukung aspirasi Negara agar hasrat pembangunan masyarakat dari segi fizikal, material dan spiritual dapat dicapai sepenuhnya.
Bagi aspek individu, pendidikan adalah untuk membentuk individu yang terdidik dari segi intelek, moral, estetika, emosi dan untuk menggalakkan perkembangan potensi pada tahap maksimum.  Bagi aspek sosial pula, pendidikan adalah untuk membina individu  yang mempunyai celik akal dan kefahaman tentang persekitaran alam, budaya hidup masyarakat dan peranan sebagai warganegara yang mempunyai sikap dan komitmen positif.
 Pendidikan juga dapat membangunkan sumber tenaga manusia yang bijaksana bagi meningkatkan produktiviti sektor ekonomi Negara agar dapat membantu menstabilkan politik, sosio-ekonomi dan menjamin kebudayaan negara.  Pendidikan juga dapat membina semangat persaudaraan sesama umat manusia sejagat apabila dunia merupakan satu komuniti.  
Dalam pada itu, pendidikan bertujuan melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Selain itu, individu hendaklah merupakan individu yang berkebolehan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan negara. Individu hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga huungan baik dan mesra antara insan serta memupuk perpaduan masyarakat  Malaysia.  
Dari segi ekonomi, sistem pendidikan bertujuan untuk menghasilkan individu-individu yang mahir serta cekap untuk membolehkannya menjadi seorang pekerja yang produktif. Dengan adanya pengetahuan yang mendalam dan kemahiran yang tinggi, individu akan dapat menjadi perancang, pengeluar dan penguna yang rasional dan cekap. Dalam konteks ini, jelaslah individu dapat memberikan sumbangan terhadap kemajuan serta perkembangan negara.  
Bagi tujuan menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum, sukatan pelajaran yang sama digunakan di sekolah-sekolah. Bahasa pengantar yang sama, iaitu bahasa Melayu digunakan di semua sekolah kebangsaan untuk membolehkan semua rakyat berhubung dengan mudah antara satu sama lain. Sistem pendiidkan perguruan yang lebih teratur serta bercita-cita kebangsaan disediakan untuk semua guru pelatih.  
Apabila didapati jurang perbezaan dalam pendididkan telah wujud antara golongan yang berada dan golongan yang miskin, maka usaha telah diambil ke arah mengurangkan jurang tersebut. Ini dilakukan dengan cara menyediakan kemudahan-kemudahan kepada murid-murid dari kawasan luar bandar. Kemudahan tersebut termasuklah pemberian buku pinjaman, makanan panas, wang untuk membeli pakaian seragam dan biasiswa kecil untuk membeli pakaian.  
Selain itu, matlamat pendidikan Kebangsaan ialah bagi memelihara cara hidup demokrasi melalui mata pelajaran Kajian Tempatan, murid-murid akan didedahkan kepada latar belakang sejarah negara kita serta kefahaman tentang konsep demokrasi. Ini dilakukan dengan tujuan untuk melahirkan individu yang akan menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab, yang akan berusaha bersama ke arah mewujudkan masyarakat yang progresif, adil dan saksama.  
Dalam pada itu, pendidikan Kebnagsaan adalah berujuan juga untuk membekalkan kurikulum yang perlu dalam bidang-bidang pengetahuan, serta sikap yang selaras dengan objektif-objektif pendidikan yang diterima oleh semua penduduk di negara ini. Sehubungan itu, dapat juga melengkapkan individu dengan kemahiran berkomunikasi supaya dapat meningkatkan kefahaman yang positif dan mengeratkan perhubungan manusia.