Falsafah pendidikan merupakan rumusan idea yang merangkumi aspek realiti dalam bidang pendidikan, iaitu mencakupi segala dimensi, aspek dan fungsi pendidikan. Tujuan falsafah pendidikan adalah untuk memberi panduan dan haluan kepada pakar pendidikan untuk merancang dan mereformasikan sistem pendidikan negara yang dicerminkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sehubungan itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan dengan mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara. Untuk menggubal Falsafah Pendidikan kebangsaan yang boleh memberi panduan dan bimbingan yang bermanfaat kepada segala usaha pendidikan, beberapa faktor hendaklah dipertimbangkan terlebih dahulu.
Di antara faktor yang mempengaruhi pertimbangan semasa menggubal falsafah pendidikan kebangsaan ialah melalui faktor sosial di mana meliputi struktur masyarakat dan kebudayaannya. Masyarakat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Keharmonian dan kemakmuran negara adalah bergantung kepada nilai-nilai hormat-menghormati, toleransi dan juga kerjasama antara satu sama lain. Sikap ini amat penting dalam mencapai perpaduan antara kaum serta mewujudkan negara yang harmoni dan sejahtera. Perpaduan kaum juga merupakan salah satu matlamat pendidikan yang telah dinyatakan dalam FPK sendiri.
Faktor ekonomi yang mempengaruhi matlamat pendidikan dalam usaha membawa pembangunan dan kemajuan negara. Tujuan ini dapat dicapai dengan melahirkan rakyat malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran dapat membantu negara memerkembangkan ekonomi dengan mempertingkatkan daya pengeluarannya. Cita-cita memperkembangkan ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidikan negara yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPK).
Selain itu, kita lihat pula kepada faktor politik yang menentukan ideologi negara dan seterusnya mempengaruhi dasar pendidikan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal berlandaskan kepada ideologi negara yang telah dicerminkan dalam dokumen-dokumen rasmi negara seperti Rukunegara, Laporan Pendidikan, Laporan Kabinet dan Rancangan Malaysia. Faktor politik memainkan peranan yang penting dalam menentukan dasar pendidikan negara.
Justeru itu, faktor agama yang dianuti oleh rakyat negara juga memainkan peranan dalam membentuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Agama islam merupakan agama rasmi negara kita namun agama Kristian, agama Buddha, agama Hindu dan sebagainya bebas dianuti mengikut undang-undang negara. Unsur agama ini dapat dihayati dan direnungkan melalui pernyataan " bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi da jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan".
Dalam pada itu, faktor sejagat yang berkaitan dengan pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan juga keupayaan warganegara memberi sumbangan ke arah persefahaman antarabangsa. Penggubalan FPK tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidikan antarabangsa. Sehubungan itu, idea-idea yang dihasilkan daripada seminar pendidikan antarabangsa pula membawa pengarunya ke atas FPK. Misalnya program pendemokrasian pendidikan, dan pendidikan seumur hidup dirancangkan oleh UNESCO dalam tahun 1980-an dan telah dimanifestokan dalam pernyataan FPK sebagai "pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan". Ini jelas mencerminkan pendidikan seumur hidup.
Selain itu, faktor individu berkaitan dengan keperluan-keperluan asas seperti keselamatan, perkembangan potensi dan penyempurnaan kendiri. Potensi individu dapat diperkembangkan melalui proses pendidikan. Potensi individu ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu akan menjadi insan insan yang seimbang dan harmonis. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, sentiasa menikmati ketenteraman jiwa serta bersedia menghadapi cabaran hidup dengan tenang. Cita-cita ini akan melahirkan individu yang seimbang dan harmonis merupakan penyataan utama dalam kandungan FPK.
Malaysia sejak awal pembentukannya pernah memainkan peranannya di arena antarabangsa dalam usaha menjamin keamanan, keadilan dan kesejahteraan untuk negara dan sejagat. Usaha kerjasama sejagat ini akan terus dipikul oleh generasi-generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment