Berlandaskan kepada falsafah pendidikan kebangsaan yang telah dihuraikan di atas, maka matlamat Pendidikan Negara ialah bertujuan melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya dapat melahirkan warganegara yang berguna. Dengan perkataan lain, matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan Negara sera memiliki sahsiah yang seimbang dan bersepadu serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Selain itu, FPK juga bermatlamat melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada Negara, melahirkan rakyat yang boleh memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan bersikap toleransi demi mewujudkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan berbekalkan kemudahan-kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang kurang berada.
Selain daripada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang adalah diharapkan juga melalui pendidikan, Malaysia dapat mencapai matlamat pendidikannya seperti melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajipannya sebagai seorang warganegara, menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan perkembangan.
Pendidikan di Negara ini juga adalah untuk melahirkan individu atau rakyat Malaysia yang terdidik dalam pelbagai segi agar mereka matang berfikir, berkemahiran untuk memikul tanggungjawab dan mempunyai komitmen untuk mendukung aspirasi Negara agar hasrat pembangunan masyarakat dari segi fizikal, material dan spiritual dapat dicapai sepenuhnya.
Bagi aspek individu, pendidikan adalah untuk membentuk individu yang terdidik dari segi intelek, moral, estetika, emosi dan untuk menggalakkan perkembangan potensi pada tahap maksimum. Bagi aspek sosial pula, pendidikan adalah untuk membina individu yang mempunyai celik akal dan kefahaman tentang persekitaran alam, budaya hidup masyarakat dan peranan sebagai warganegara yang mempunyai sikap dan komitmen positif.
Pendidikan juga dapat membangunkan sumber tenaga manusia yang bijaksana bagi meningkatkan produktiviti sektor ekonomi Negara agar dapat membantu menstabilkan politik, sosio-ekonomi dan menjamin kebudayaan negara. Pendidikan juga dapat membina semangat persaudaraan sesama umat manusia sejagat apabila dunia merupakan satu komuniti.
Dalam pada itu, pendidikan bertujuan melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Selain itu, individu hendaklah merupakan individu yang berkebolehan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat dan negara. Individu hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga huungan baik dan mesra antara insan serta memupuk perpaduan masyarakat Malaysia.
Dari segi ekonomi, sistem pendidikan bertujuan untuk menghasilkan individu-individu yang mahir serta cekap untuk membolehkannya menjadi seorang pekerja yang produktif. Dengan adanya pengetahuan yang mendalam dan kemahiran yang tinggi, individu akan dapat menjadi perancang, pengeluar dan penguna yang rasional dan cekap. Dalam konteks ini, jelaslah individu dapat memberikan sumbangan terhadap kemajuan serta perkembangan negara.
Bagi tujuan menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum, sukatan pelajaran yang sama digunakan di sekolah-sekolah. Bahasa pengantar yang sama, iaitu bahasa Melayu digunakan di semua sekolah kebangsaan untuk membolehkan semua rakyat berhubung dengan mudah antara satu sama lain. Sistem pendiidkan perguruan yang lebih teratur serta bercita-cita kebangsaan disediakan untuk semua guru pelatih.
Apabila didapati jurang perbezaan dalam pendididkan telah wujud antara golongan yang berada dan golongan yang miskin, maka usaha telah diambil ke arah mengurangkan jurang tersebut. Ini dilakukan dengan cara menyediakan kemudahan-kemudahan kepada murid-murid dari kawasan luar bandar. Kemudahan tersebut termasuklah pemberian buku pinjaman, makanan panas, wang untuk membeli pakaian seragam dan biasiswa kecil untuk membeli pakaian.
Selain itu, matlamat pendidikan Kebangsaan ialah bagi memelihara cara hidup demokrasi melalui mata pelajaran Kajian Tempatan, murid-murid akan didedahkan kepada latar belakang sejarah negara kita serta kefahaman tentang konsep demokrasi. Ini dilakukan dengan tujuan untuk melahirkan individu yang akan menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab, yang akan berusaha bersama ke arah mewujudkan masyarakat yang progresif, adil dan saksama.
Dalam pada itu, pendidikan Kebnagsaan adalah berujuan juga untuk membekalkan kurikulum yang perlu dalam bidang-bidang pengetahuan, serta sikap yang selaras dengan objektif-objektif pendidikan yang diterima oleh semua penduduk di negara ini. Sehubungan itu, dapat juga melengkapkan individu dengan kemahiran berkomunikasi supaya dapat meningkatkan kefahaman yang positif dan mengeratkan perhubungan manusia.
No comments:
Post a Comment